..: Kasih Ibu Sehingga ke Hujung Nyawa :..

as salam kawan²
semalam saya singgah blog http://geniusbabyonboard.blogspot.com/
baca cter pasal event : moms day out yg mereka jalankan
dari cter pn.watie memang saya dapat rasa betapa meriah dan bestnya acara tue
klau dapat join mesti best
smua aktivti ader diceritakan
antara ceritanya, pengacara aka pn.watie dan peserta menangis lepas dengar satu cerita yg diceritakan Pn.Farah tentang satu insiden yg berlaku di Malaysia.. 
kat situ pn.watie xcterkan sepenuhnya pasal insiden tue.. 
tapi semalam semasa wat BW
kebetulan plak kat blog tue ader satu entry cter tentang insiden seorang ibu dan bayinya
saya rasa cter insiden nie ar yg mereka dengar sehingga menangis tue
masa saya baca cter nie pun memang sebak btul dada nie
mari saya kongsikan di sini kisah sedih itu


Kasih Ibu Sehingga ke Hujung Nyawa


Lama sungguh saya berehat daripada menukilkan apa-apa dalam rumah maya saya ini. Memasuki tahun baru pula, disambut dengan satu bulan bercuti tanpa gaji dan berehat di kampung. Tidak mengapalah. Itu bahagian masing-masing. Saya tetap terima ujian ini dengan reda dan berlapang dada.

Hari ini, saya terpanggil bagi berkongsi satu kisah yang sangat menyentuh hati dan naluri saya sebagai seorang yang bergelar ummi, anak dan insan. Kisah ini adalah perkongsian daripada seorang DJ radio yang menjadi halwa telinga saya di dalam kereta, sepanjang menuju ke pejabat. Ini adalah kisah benar yang diceritakan oleh rakan beliau yang bertugas sebagai anggota bomba. Mungkin ada juga rakan-rakan di luar sana yang turut mendengar perkongsian ini.

Kisahnya perihal satu keluarga yang mengalami kemalangan ngeri. Kereta yang mereka naiki terbabas, berpusing, melanggar pembahagi jalan lalu terperosok ke dalam longkang. Dalam kejadian ini, kereta itu remuk teruk dan penumpangnya mengalami kecederaan parah. Cermin hadapan habis retak berderai. Tidak ditekankan keadaan pemandunya. Tetapi saya fikir, pemandunya menemui ajal di situ juga. 

Mahu diceritakan, penumpang yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan yang sangat parah. Wajahnya habis berlumuran darah. Dahinya terkopek sehingga menonjolkan tulang tengkorak. Mungkin juga akibat terhantuk pada papan pemuka kereta ditambah dengan pecahan kaca cermin hadapan. Ajaibnya kuasa Tuhan, bayinya selamat tetapi terpelanting ke kerusi belakang. Bayi kecil yang tidak tahu apa-apa itu meraung dan menangis. Mungkin kerana kesakitan, kesedihan, terkejut dan sebagainya.

Sewaktu anggota bomba itu mengambil dan mahu menyelamatkan si kecil tadi, ibunya terketar-ketar dan menggigil sambil memberi isyarat kepada beliau. Subhanallah, rupa-rupanya si ibu tadi mahukan bayinya bagi disusukan. Diselak bajunya dengan sedaya upaya dan disusukan si kecil itu dengan penuh rasa sayu, pilu dan kasih sayang.

Si kecil senyap di dalam dakapan ibunya. Betapa nyamannya dakapan ibu itu sehingga mampu menenangkan si kecil yang ketakutan. Dengan kuasa dan izin Allah, ibu itu tiba-tiba tercungap-cungap mencari nafas, tanda ajalnya yang semakin hampir. Lalu terkapailah si ibu dalam keadaan yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang itu. Ya Allah, betapa pilunya situasi itu sehingga merenggut ketenangan anggota bomba tadi.

Sewaktu saya mendengar perkongsian ini, air mata saya berderaian laju menitis di pipi. Malah, tatkala menukil kata demi kata dalam ruang maya ini juga, bagaikan sukar air mata ini mahu ditepis. Betapa luhur dan agungnya perasaan kasih seorang ibu kepada permata hatinya. Tidak terbalas dek kita sebagai anak, yang selama ini tidak habis-habis bergantung pada jasa ibu.

Dari kecil dibelai ibu, sudah besar masih juga mahu bergantung pada ibu. Masakan tersedap, air tangan ibu. Segala pengalaman dunia, mahu dirujuk pada ibu. 

Sahabat sekalian, selagi kita memiliki dan punya ibu, hargailah ibu kita setinggi-tingginya. Muliakan dan tatanglah ibu kita persis menatang air yang penuh tatkala berada di gurun yang gersang tanpa penghujung. Betapa berharganya air itu sehingga sekiranya boleh, setitis pun kita tidak mahu jatuh ke bumi. Tanpa air itu, takkan lama kita bertahan dalam mengharungi perjalanan di atas gurun tadi.

Semoga kita mendapat iktibar daripada kisah yang dikongsikan ini. Sekian.

*Sehingga kini, saya asyik terbayang-bayang nasib si kecil yang kehilangan tempat bermanja dan mendapatkan setitis susu ibunya. Betapa beruntungnya kita yang masih berpeluang menyusukan si manja kita~

2 comments:

fadhdeela said...

Ibu ku tersayang!! rindu lak kat mak :)

Meh singgah: Tiada Aku Mengerti!!!

Zaidah said...

pengorbanan ibu memang tiada nilai gantinyer